Soalan; Apa hukum patung atau tugu yang dibuat bukan untuk
disembah?
Jawapan;
Membuat
dan menyimpan patung (termasuk tugu) yang berupa makhluk bernyawa dilarang di
dalam Islam. Nabi SAW bersabda;
لَا
تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلَا تَمَاثِيلُ
“Para malaikat tidak akan
masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan patung-patung” (Soheh
Muslim; 2106/87. Dari Abi Talhah al-Ansari RA).
Abu Hayyaj
al-Asadi menceritakan; Saidina ‘Ali RA berkata kepadaku; ‘Ketahuilah bahawa aku
mengutusmu untuk melaksanakan tugas sebagaimana aku dulu diutuskan oleh Nabi
SAW untuk melakukannya, iaitu; “Jangan engkau biarkan satu patungpun melainkan
hendaklah engkau musnahkan, dan jangan biarkan satu kuburpun yang tinggi dari
yang lain (yakni dibuat binaan di atasnya) melainkan hendaklah kamu ratakan”
(Soheh Muslim; 969/93).
Abu Hurairah RA
menceritakan; Rasulullah SAW telah menceritakan; Jibril AS telah datang
kepadaku, lalu berkata; ‘Sebenarnya kelmarin aku telah datang kepadamu, namun
aku terhalang memasuki rumah kamu kerana di pintu rumah terdapat patung lelaki-lelaki,
di dalam rumah pula terdapat tirai yang terdapat gambar-gambar patung padanya,
begitu juga terdapat anjing di dalam rumah. Hendaklah kamu menyuruh supaya
dikerat/dipotong kepala patung yang terdapat di pintu rumah hingga ia menjadi
seperti rupa pokok (yakni tidak berupa haiwan lagi), dipotong kain tirai dan
dijadikan dua kain lapik yang dihampar untuk dipijak (atau diduduki). Anjing
pula suruhlah agar diusir keluar. Lantas Nabi SAW melakukan sebagaimana yang
disuruh oleh JIbril RA (Sunan at-Tirmizi; 6806. Hadis hasan).
Hadis ini menolak
pandangan yang menganggap patung yang dilarang hanyalah yang dijadikan sembahan
atau dibimbangi dijadikan sembahan, kerana tidak tergambar oleh sesiapapun
bahawa patung yang ada dalam rumah Nabi SAW adalah untuk sembahan.[1]
Menurut
Syeikh ‘Atiyah Saqar;[2]
“Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa haram menyimpan patung (yang
berupa makhluk bernyawa) jika tujuannya adalah untuk penyembahan dan pemujaan,
kerana ia adalah rijs (kotoran) yang disebut Allah dalam firmanNya;
فَاجْتَنِبُوا
الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
“Jauhilah rijs (kotoran) iaitu berhala-berhala, dan jauhilah
perkataan dusta” (Surah al-Haj, ayat 30).
Jika
tujuan menyimpannya bukan untuk sembahan atau pemujaan, ia turut diharamkan
jika mempunyai ciri-ciri berikut;
1. Patung itu sempurna anggota-anggotanya.
2. Tidak ada keperluan untuk membuat atau menyimpannya.
3. Dibuat dengan bahan yang boleh kekal dalam tempoh yang lama seperti
kayu, logam atau batu.
Merujuk
kepada ciri-ciri di atas, dikecualikan dari hukum haram tadi patung-patung
berikut;
1.
Patung yang tidak sempurna, iaitu patung yang berbentuk separuh badan, atau
yang kurang anggotanya sekira-kira jika diandaikan patung itu makhluk hidup, ia
tidak akan dapat hidup tanpa anggota itu (seperti patung yang tidak berkepala
dan sebagainya). Patung jenis ini tidak haram, namun makruh. Menurut mazhab Maliki;
diharuskan patung yang berlubang yang menghalang hidup (jika diandaikan ia
hidup) sekalipun lubang itu kecil. Mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan
lubang itu besar.
2.
Dibolehkan patung yang dibuat untuk suatu maslahah seperti sebagai permainan kanak-kanak
perempuan (untuk pendidikan mereka) atau sebagai alat bantuan dalam pembelajaran,
kerana Nabi SAW tidak melarang ‘Aisyah RA ketika melihat dia bermain dengan
patung kanak-kanak perempuan bersama rakan-rakan perempuannya (*ketika mula
tinggal dengan Nabi SAW, ‘Aisyah RA baru berusia 9 tahun), sebagaimana yang
diceritakan oleh hadis dalam Soheh al-Bukhari dan Muslim.[3]
Para ulamak menjelas illah (sebab)nya, iaitu; patung permainan itu
dibolehkan sebagai latihan atau bimbingan bagi kanak-kanak perempuan untuk masa
depannya.
3.
Sekiranya patung dibuat dari bahan yang tidak kekal lama seperti dibuat dari
manisan atau tepung, sebahagian ulamak mazhab Maliki mengharuskannya, antaranya
Ibnu al-Faraj al-Maliki dan Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya (Tafsir al-Qurtubi;
surah Saba’, ayat 13)” (Tamat fatwa Syeikh ‘Atiyah Saqar).
Kesimpulan;
pada dasarnya, patung yang berupa makhluk bernyawa (yakni manusia atau
haiwan) -jika memenuhi ciri-ciri di atas- adalah dilarang oleh Syariat
Islam sekalipun tidak dijadikan sembahan kerana hadis-hadis Nabi SAW
yang melarangnya bersifat umum.
Wallahu
a’lam.
[1]
Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no. 7458.
[2] Himpunan Fatwa Dar al-Iftak al-Misriyyah, 10/96.
[3]
Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Aku bermain dengan patung kanak-kanak
perempuan ketika telah tinggal bersama Nabi SAW. Aku juga mempunyain
kawan-kawan perempuan yang turut bermain denganku” (Soheh al-Bukhari; 6130.
Soheh Muslim; 2440/81).
No comments :
Post a Comment