Friday, February 03, 2017
HADIR LEWAT SOLAT JUMAAT TANPA MENDENGAR KHUTBAH
Soalan; uztaz,
saya perhatikan ramai yang hadir Jumaat di hujung-hujung khutbah, jadi
mereka tidak sempat mendengar khutbah, kalau dengar pun sedikit sahaja.
Apa jadi pada solat jumaat mereka?
Jawapan;
Di
dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman (khususkan kaum
lelaki) agar segera menuju ke masjid untuk mendengar khutbah apabila
sahaja mendengar seruan azan untuk solat jumaat. Mereka dikehendaki
meninggalkan segala urusan mereka (jual-beli dan sebagainya). Setelah
selesai solat jumaat, mereka boleh kembali kepada urusan mereka. Firman
Allah;
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ
الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ
خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Wahai
orang-orang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat
pada hari jumaat, hendaklah kamu segera untuk mengingati Allah dan
tinggalkanllah jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Kemudian apabila selesai solat, bolehlah kamu bertebaran di muka
bumi..." (Surah al-Jumu'ah, ayat 9 dan 10).
Menurut
ulamak; maksud segera untuk mengingati Allah dalam ayat di atas ialah;
segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat jumaat
selepasnya.(1)
Arahan Allah "dan tinggalkanlah jual-beli" menunjukkan
bahawa segala jenis akad dan mu'amalah wajib ditinggalkan apabila
mendengar azan jumaat. Masih menyibukkan diri dengannya pada ketika itu
adalah haram di sisi Syariat.(3).
Menurut
mazhab Syafiie; orang yang wajib menghadiri solat jumaat, apabila
matahari telah tergelincir dari tengah langit, makruh dia masih
berjual-beli atau melakukan sebarang urusan yang menyibukkannya dari
segera hadir mendengar khutbah jumaat. Namun apabila imam sudah berada
di atas mimbar dan muazzin mula melaungkan azan, segala urusan tersebut
tersebut menjadi haram (berdosa).(4) Menurut Imam Malik dan Imam
Ahmad;jual-beli yang dilakukan setelah azan jumaat bukan sahaja haram,
akan tetapi fasad (tidak sah). Menurut mazhab Syafiie; sekalipun haram,
namun akad masih sah.(5)
Kesimpulannya,
hadir lewat ke majlis solat jumaat hingga ketinggalan dari khutbah
jumaat, perbuatan itu adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah
dalam al-Quran. Adapun solat jumaat, menurut ulamak; seseorang itu
dikira solat jumaatnya jika dia sempat mendapat satu rakaat bersama
imam. Jika dia datang lewat hingga tidak mendapat satu rakaat bersama
imam, solat jumaat tidak dikira baginya dan dia wajib menyambung
solatnya menjadi solat zohor (yakni mencukupkan solat hingga 4
rakaat).(6)
Menurut
fatwa Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail; orang yang mengerjakan solat
jumaat tanpa mendengar khutbah sedikitpun; solat jumaatnya sah, namun
tidak berpahala kerana pahala solat jumaat dikira bersekali dengan
mendengar khutbah. Sila baca jawapan saya sebelum ini; SOLAT JUMAAT TANPA MENDENGAR KHUTBAH.
Wallahu a'lam.
Nota;
(1) Lihat; Tafsir an-Nasafi, tafsir al-Qurtubi (pandangan Imam Ibnu
al-'Arabi), Ahkam al-Quran (al-Kiya al-Harrasi), Tafsir Ayatil Ahkam
(Syeikh 'Ali as-Sayis) (1/768) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh 'Ali
as-Sobuni) (2/632).
(2) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu'ah, ayat 9).
(3) Tafsir Ayatil Ahkam (Syeikh 'Ali as-Sayis) (1/768).
(4) al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500).
(5) Ahkam al-Quran, al-Kiya al-Harasi (surah al-Jumu'ah, ayat 9),
al-Majmuk, Imam an-Nawawi (4/500-501) dan Tafsir Ayaatil Ahkam (Syeikh
'Ali as-Sobuni) (2/643).
(6) at-Taqriraat as-Sadidah (Syeikh 'Ali al-Kaf), hlm. 339.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
1 comment :
Kita suka p kedai yang tutup hari Jumaat. Sebab dia membesarkan hari Jumaat dan yakin dengan rezekinya. Siapa buka kedai makan hari Jumaat Especially time solat Jumaat.. memang la..memang tak patut!
Post a Comment