Friday, February 10, 2017
AKAD NIKAH MELALUI TELEFON
Ustaz, adakah sah akad nikah melalui telefon dengan akad antara wali dan calon suami didengari oleh saksi-saksi melalui pembesar suara (load speaker)?
Jawapan;
Menurut
keputusan Majmak al-Fiqh a-Islami (Himpunan ulamak untuk membahaskan
isu-isu fiqh Islam); tidak boleh melakukan akad nikah melalui alat-alat
perhubungan moden (telefon, faxs, internet dan sebagainya) kerana akad
nikah mensyaratkan penyaksian (oleh saksi-saksi) (Muktamar ke 6, di
Jeddah, bulan Sya'ban 1410, bersamaan Mac 1990).
Menurut
mazhab Syafiie; saksi-saksi bagi akad nikah disyaratkan seorang yang
dapat melihat, mendengar dan membuat kepastian (dhabt).(1) Syeikh
Sulaiman al-Bujairmi menjelaskan; "Saksi hendaklah membuat kepastian
terhadap lafaz-lafaz (akad) yang diucapkan oleh wali dan juga calon
suami. Kerana itu tidak mencukupi dengan dia mendengar lafaz mereka dari
ruang gelap (tanpa melihat mereka), kerana suara-suara boleh serupa"
(Hasyiyah al-Bujairmi 'ala al-Khatib, 3/396). Berdasarkan penjelasan
ini, saksi wajib hadir bersama ketika akad dilaksanakan (untuk melihat,
mendengar dan membuat kepastian), maka tidak sah akad melalui telefon
kerana saksi tidak hadir bersama sekalipun mereka dapat mendengar suara.
Wallahu a'lam.
Nota;
(1) Lihat; al-Iqna', Syeikh Khatib al-Syirbini.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment