Friday, December 16, 2016

WANITA HAID DAN AKAD NIKAH DALAM MASJID

No comments :
Soalan; 
 
Assalamualaikum ustaz, Soalan: Saya ingin menghadiri pernikahan adik perempuan saya yang akan diadakan dimasjid tetapi saya khuatir ketika tu saya mungkin dalam keadaan haid. Begitu juga keadaan adik saya yang bakal menjadi pengantin itu. Adakah kita dilarang untuk memasuki masjid jika niat kita untuk menyelesaikan pernikahaan sahaja.

Jawapan;

Menurut jumhur/majoriti ulamak (termasuk Imam-Imam mazhab empat); Wanita yang sedang haid dilarang duduk di dalam masjid berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.). Kawasan yang dilarang itu ialah kawasan yang dikhaskan untuk tempat solat. Adapun di ruang yang bukan tempat solat (seperti di dewan masjid, ruang pejabat, kemah di luar bangunan masjid dan sebagainya), tidaklah dilarang.

Namun menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir); Tidak dilarang wanita haid duduk di dalam masjid kerana tidak ada dalil yang benar-benar kuat yang menjadi hujah bagi larangan tersebut. Adapun hadis di atas, menurut mereka; ia adalah dhaif sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Khattabi; “Hadis tersebut telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis” (lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Apabila tidak ada dalil yang kuat (bagi larangan tersebut), maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Pandangan yang diamalkan ialah yang pertama. Walaupun bersandar kepada hadis dhaif, namun hadis dhaif apabila diamalkan oleh Imam-Imam mujtahid menunjukkan hadis itu tsabit. Selain itu, dengan berpegang dengan pendapat itu kita mengelak dari pertikaian.

Tambahan;

1. Mengenai hukum berakad nikah dalam masjid; jumhur ulamak menggalakkannya kerana mengharapkan barakah. Tetapi hendaklah menjaga adab-adab ketika dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang merosakkan kehormatan masjid termasuk pakaian pengantin dan solekan mereka. Kerana itu –untuk mengelak berlaku perkara tersebut- ulamak-ulamak mazhab Maliki hanya mengharuskan sekadar ijab dan qabul sahaja di dalam masjid, tidak harus berbuat bising, menguatkan suara, percakapan yang banyak dan seumpamanya kerana ia tidak sesuai dengan kemuliaan masjid. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”. 
 

No comments :