Soalan;
Saya
ada soalan ustaz, mengikut mazhab maliki, muntah yg sedikit adalah
najis yang dimaafkan dan dibolehkan dibawa dlm sembahyang. Soalan saya,
adakah boleh saya berpegang pada mazhab maliki dalam bab2 najis yg
dimaafkan ini kerana amat merumitkan saya kerana saya mempunyai bayi
kecil yg sering muntah / jeluak dan saya sentiasa terpaksa membersihkan
muntah/jeluak tersebut walaupun sedikit. Sedikit dalam mazhab maliki
adalah selebar titik hitam pada wang dirham. Apakah yg dimaksudkan itu
ya ustaz? Mohon pencerahan dan terima kasih byk2 atas bantuan ustaz.
Jawapan;
Muntah adalah najis
mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab empat (Hanafi, Maliki,
Syafie dan Hanbali) kerana ia adalah makanan yang melalui proses
pengubahan dalam perut, maka ia menyamai tahi. Kerana itu, pakaian yang
terkena muntah, wajib dibasuh sebelum dipakai ketika solat. Namun, para
ulamak menegaskan; najis dimaafkan jika kadarnya sedikit. Menurut mazhab
Hanafi; kadar sedikit itu ialah yang kurang dari kadar saiz 1 dirham
(iaitu kira-kira sebesar duit 5 sen). Ia dimaafkan, yakni tidak wajib
membasuhnya sebelum memasuki solat. Khusus mengenai muntah anak kecil,
Imam Najmuddin an-Nasafi (ulamak mazhab Hanafi) berkata dalam fatwanya;
“Anak kecil yang menyusu, kemudian muntah mengenai pakaian ibunya, jika
muntah itu memenuhi mulut, ia adalah najis. Maka jika kadarnya melebihi
satu dirham, ditegah mengerjakan solat dengan memakai pakaian tersebut”.
Dari fatwa ini kita dapat memahami bahawa, muntah anak kecil jika
kadarnya sedikit (kurang dari saiz satu dirham), dimaafkan dan harus
memakai pakaian yang dikenainya untuk mengerjakan solat.
Menurut mazhab
Syafiie; ukuran banyak atau sedikit najis itu bergantung kepada
pandangan ‘uruf (yakni pandangan menurut kebiasaan). Jika najis yang
mengenai badan atau pakaian itu di dianggap sedikit oleh kebiasaan orang
sekeliling yang melihatnya, ia dikira sedikit dan dimaafkan. Jika
dianggap banyak, maka ia adalah banyak dan tidak dimaafkan. Menurut
mazhab Hanbali; ukuran sedikit atau banyak itu kembali kepada pandangan
hati sendiri. Jika hati merasai kotor dan menjijikkan kerana kadarnya
telah melampaui had, maka ia dikira banyak. Jika hati tidak merasai
begitu, ia masih dikira sedikit dan dimaafkan.
Menurut mazhab
Syafiie juga; najis turut dimaafkan jika sukar dielakkan, walaupun najis
itu banyak. Contohnya; darah pijat, kutu dan nyamuk, darah dari bisul,
jerawat, luka, kudis, tempat bekam dan sebagainya. Khusus tentang
muntah, ulamak mazhab Syafiie menegaskan; jika seseorang itu menghadapi
kesukaran berdepan dengan muntahnya (kerana selalu muntah), dimaafkan
muntah yang mengenai badan atau pakaiannya sekalipun muntah itu banyak.
Menurut mazhab
Maliki, muntah hanya dikira najis jika keluarnya dalam keadaan telah
berubah dari rupa makanan (yakni ia tidak nampak lagi rupa makanan).
Sekiranya yang keluar itu masih berupa makanan, ia tidaklah najis.
Adapun di sisi mazhab-mazhab selain tadi; semua jenis muntah adalah
najis asalkan ia keluar dari perut, sama ada yang keluar masih berupa
makanan atau tidak lagi berupa makanan.
Segelintir ulamak
(antaranya Imam as-Syaukani) berpandangan; muntah keseluruhannya
tidaklah najis kerana tidak ada sebarang dalil yang menegaskannya
sebagai najis, oleh itu ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci
(kaedah Fiqh menegaskan; asal semua benda di atas muka bumi ini adalah
suci selagi tidak terdapat nas yang soheh yang menyatakan kenajisannya).
Kesimpulannya,
muntah (termasuk muntah bayi) adalah najis menurut jumhur ulamak. Namun
ia dimaafkan jika kadarnya sedikit dan sukar dielakkan. Merujuk kepada
soalan; jeluak bayi yang mengenai pakaian ibu dimaafkan selama ia
sedikit. Adapun jika telah banyak, ia tidak dimaafkan, maka wajiblah
dibasuh pakaian tersebut sebelum mengerjakan solat. Namun jika ibu
mengalami kesukaran hendak membasuhnya setiap kali hendak solat (seperti
anak terlalu kerap jeluak), dimaafkan kerana kaedah fiqh ada
menyebutkan; al-masyaqqah tajlibu at-taysir (keadaan kepayahan mengizinkan untuk mengambil kemudahan).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85.
2. Mughni al-Muhtaj, 1/112, 267-268.
3. Al-Mughni (Imam Ibnu Qudamah), 2/54.
4. Kifayat al-Akhyar, hlm. 92.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, Husain bin ‘Audah al-‘Awayisah, 1/59.
No comments :
Post a Comment