Friday, June 17, 2016
CARA MELAKSANAKAN PUASA KAFFARAH 2 BULAN BERTURUT-TURUT
Soalan;
Assalamualaikum wbt ustaz. Terima kasih atas
penerangan ustaz yang cukup jelas dalam blog ilmu dan ulamak (tentang kaffarah
kerana berjimak di siang hari di bulan Ramadhan). Cuma disini saya ada 1
kemusykilan; Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan berpuasa 2 bulan berturut2?
Bagaimana jika kita sengaja tidak mahu berpuasa 2 bulan tersebut dan mengambil
jalan mudah untuk memberi mkn kpd 60 orang miskin? Adakah dibolehkan? Adakah
kita boleh untuk tidak mengikut turutan kafarah yang diwajibkan tersebut?
seperti contoh: kita rasa berat untuk berpuasa dua bulan berturut2 tanpa sebab
yang kukuh, dan dengan mudah kita terus memberikan makan kepada 60 orang
miskin. Saya mohon penjelasan ustaz. Terima kasih ustaz.
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
1. Maksud berpuasa dua bulan berturut-turut ialah
berpuasa dua bulan secara berterusan tanpa selang sehari pun. Hendaklah memakai
bulan Islam (Hijrah). Jika puasa dimulai dari hari pertama bulan, tamat
kaffarah dengan berakhir bulan kedua (bergantung kepada kenampakan hilal bagi
kedua-dua bulan tersebut. Maka bilangan hari puasa mungkin 58 hari atau 59 hari
atau 60 hari). Jika puasa dimulai dari tengah bulan, kekurangan hari pada bulan
pertama hendaklah ditampung dalam bulan ketiga dengan menggenapkannya menjadi
30 hari. Adapun bulan kedua bergantung kepada kenampakan hilal (29 hari atau 30
hari). Jika dibuka sehari hendaklah dimulakan semula puasa dari awal sekalipun
yang dibuka itu hari terakhir (iaitu hari ke 59 atau 60).
2. Menurut jumhur ulamak (mazhab Hanafi, asy-Syafi‘i dan
Hambali); kafarah terbabit bukanlah pilihan akan tetapi ia wajib
mengikut
urutan, yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang
pertama(membebaskan
hamba) maka itulah yang wajib atasnya. Jika tidak mampu yang pertama,
barulah pergi kepada yang kedua (berpuasa dua bulan). Jika tidak
mampu yang kedua, barulah pergi kepada yang ketiga (memberi makan 60
orang
miskin). Oleh sebab pada zaman ini hamba sudah tidak ada lagi, maka yang
tinggal hanyalah dua; puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan
60
orang miskin ( jika tidak mampu berpuasa).
Namun menurut mazhab Imam Malik, kafarah tersebut ialah pilihan
yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib adalah melakukan salah satu
daripada tiga perkara tersebut.
3. Merujuk kepada soalan; maka berdasarkan pandangan
jumhur, selagi mampu berpuasa tidak terus harus pergi kepada memberi makan
fakir miskin. Hanya apabila tidak mampu berpuasa barulah boleh berpindah kepada
memberi makan. Maksud tidak mampu ialah; dengan berpuasa menyebabkan kepayahan
pada diri yang tidak terpikul pada kebiasaannya. Jika dalam tempoh dua bulan
seseorang itu mendapati ia hanya mampu untuk berpuasa pada sebahagian harinya
sahaja (yakni tidak mampu mencukupkan dua bulan), ia dikira tidak mampu secara
keseluruhannya dan boleh terus berpindah kepada memberi makan fakir/miskin.
Untuk perjelasan lebih lanjut tentang kaffarah (dan juga
hukum-hakam lain tentang puasa) sila dapatkan buku saya; A-Z Soal Jawab Puasa
(terbitan Telaga Biru).
Wallahu a'lam.
Rujukan;
1. Syarah al-Baijuri 'Ala Ibnu Qasim, 2/309.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment