Friday, March 18, 2016

MEMBUKA TUDUNG DAN BERSALAMAN DENGAN ABANG/ADIK IPAR

No comments :

Soalan;

Salam ustaz, saya ada sedikit masalah. Saya akan berkahwin. Bakal suami saya adalah anak bongsu kepada 4 beradik lelaki. Saya faham aurat saya dengan bakal abang ipar nanti. Saya harus memakai tudung di dlm rumah dan tidak boleh bersalam dgn mereka. Saya ada berbincang isu ini dengan tunang saya,dalam keluarganya kedua-dua kakak iparnya tidak memakai tudung dan dia juga bersalam dengan mereka sebagai tanda hormat. Dia bimbang sekiranya saya memakai tudung di dalam rumah dan tidak bersalam dengan abangnya, abgnya akan menganggap saya sebagai orang luar dan tidak hormat pada mereka. Apa yang saya harus lakukan? Adakah saya boleh membuka aurat saya dengan menganggap mereka sebagai adik beradik.
 
Jawapan;

1. Hubungan antara seorang wanita dan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram selamanya), di mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal. Oleh itu, tidak harus ia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, bersalaman dengannya dan berduaan termasuk keluar bermusafir tanpa orang lain.

2. Pandangan Allah terhadap kita perlu kita utamakan dari pandangan manusia. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” (HR Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394)

3. Kuatkan diri, berpegang teguh dengan Syariat dan mohon kekuatan dari Allah, insya Allah mereka yang akan ikut saudari nantinya, bukan saudari yang ikut mereka. Banyak cara lain yang diharuskan Syariat untuk saudari mengeratkan hubungan kekeluargaan (dengan keluarga sebelah suami), antaranya sering menziarahi mereka (bersama suami), peramah, suka membantu, tidak lokek wang ringgit dan sebagainya (semua itu akan memadamkan segala kesangsian orang lain terhadap saudari di samping mereka akan menghormati saudari, malah sampai masanya mereka akan mengikuti cara saudari).

Berbincanglah dengan bakal suami tentang hal tersebut dan capai kata sepakat sebelum berkahwin agar tidak ada perbalahan dengan suami apabila telah berkahwin nanti. Bagi seorang isteri, memadai dengan suami memahami pendiriannya pada peringkat awal sebelum orang lain turut memahaminya.

Wallahu a'lam.

No comments :