Friday, December 18, 2015

ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN

No comments :
Soalan;  

Assalamualaikm w.b.t. Saya ade soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum berkahwin syurganya dibawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin, syurga mereka dibawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya salah. Disini saye mempunyai situasi yang memusykilkan saya. ade seorang individu ini,seorang wanita dan beliau sudah berkahwin,dan yang menghampakan dan memusykilkan kepala saya, sesudah berkawin, tingkah laku,perbuatan,perangainya terhadap ibu nya sangat tidak ber adab dan sangat "kurang ajar". dan apabila saya bertanya kepadanya,mengapa beliau berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang,ibunya menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya,dan jawapan beliau terhdap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa "syurga aku dibawah tapak kaki suami,bukan tapak kaki ibu lagi" saya sangat kasihan akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? ataupun ade solution disebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut,saya harap ustaz dapat meleraikan kekusutan saya ini. Wasalam.
Jawapan

 Bismillah walhamdulillah wassolatu ala rasulillah.
Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak (lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.

Firman Allah (bermaksud); “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’, ayat 23).

 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman, ayat 14).

“…bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu” (Surah Luqman, ayat 14).

“…maka janganlah engkau berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…dan doakanlah (untuk kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; "Dosa-dosa paling besar ada empat;
1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu"
(Soheh al-Bukhari; 2653, dari Anas RA).

Kesimpulannya, sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati ibu-ayahnya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya. Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah berkahwin. Ayat-ayat Allah tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

Sabda baginda juga; “Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Wallahu a'lam.

No comments :