Friday, September 16, 2016
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Soalan;
Ustaz, ingin penjelasan berkenaan hukum
memberi daging korban kepada orang kafir. Adakah harus? Adakah hilang pahala
korban? Terima kasih.
Jawapan;
Terdapat beza pandangan antara ulamak dalam masalah di
atas;
Pandangan pertama; daging korban tidak harus diberikan
kepada orang bukan Islam sekalipun kafir zimmi. Ia khusus untuk orang Islam
sahaja. Pandangan ini merupakan mazhab Syafiie.[1]
Menurut Imam Malik dan al-Laith; makruh memberinya kepada orang bukan Islam[2].
Pandangan kedua; harus memberi daging korban kepada orang
kafir zimmi. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah, Hasan al-Basri, Abu
Tsur dan mazhab Hanbali. Pandangan ini juga ditarjih oleh Imam Nawawi dalam
kitabnya al-Majmu’. Menurut pandangan ini; daging binatang korban adalah
makanan, maka sebagaimana harus memberi makan orang kafir zimmi, maka harus
juga memberi daging korban kepada mereka kerana ia sebahagian makanan. Selain
itu, dikiaskan juga kepada keharusan memberi sedekah kepada orang kafir zimmi. Namun
menurut mereka; yang harus diberikan ialah dari korban sunat sahaja. Adapun
dari korban wajib (iaitu korban nazar), tidak harus diberi dagingnya melainkan
kepada orang-orang fakir dari kaum muslimin sahaja (iaitu menyamai hukum zakat
dan kaffarah sumpah).
Pandangan ulamak semasa; Syeikh Ibnu Usaimin (ulamak
besar Arab Saudi) menegaskan; dibolehkan memberi daging korban kepada orang
kafir dengan syarat bukan orang kafir yang memusuhi orang Islam. Dalilnya ialah
firman Allah (bermaksud); “Allah tidak
melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang
tidak memerangi kami dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung
halamanmu. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu dari menjadikan mereka
sebagai kawanku orang-orang (kafir) yang dalam urusan agama dan mengusir kamu
dari kampong halamanmu dan membantu orang lain untuk mengusirmu. Sesiapa
menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim” (surah
al-Mumtahanah, ayat 8-9).[3]
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 8/316.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 9/450.
2. al-Iqna’, Syeikh as-Syirbini, 1/593.
3. Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Ibnu Usaimin; 13/2.
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
No comments :
Post a Comment